Media Centre

 

 

My Mobile Rights: Platform Untuk Lapor Aduan Mengenai Komunikasi Dan Multimedia

05 May 2016, by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih pertamanya bagi memudahkan penglibatan pengguna dan menggalakkan pendidikan berkaitan aduan pengguna.

MY Mobile Rights (MMR), ialah inisiatif di bawah Pelan Pemerkasaan Pengguna 2014-2016 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan objektif untuk memperkasakan pengguna melalui pendekatan pembangunan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, semasa melancarkan aplikasi mudah alih itu hari ini berkata inisiatif (MMR) dirancang untuk mencadangkan langkah-langkah kawal selia sendiri segera dilaksanakan.

"Ia berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menangani isu-isu pengguna yang kritikal dan cabaran dalam industri komunikasi dan multimedia," katanya.

Sehingga Mac tahun ini, CFM menerima sebanyak 1,634 aduan mengenai pelbagai isu melibatkan pengguna, dengan bil dan caj mencatatkan 591 aduan - terbanyak dalam kategori aduan.

Pengerusi CFM, Megat Ishak Ma'munor Rashid berkata aplikasi itu bertindak sebagai saluran untuk pengguna membuat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia, terus dari telefon pintar mereka.

"MMR membantu memudahkan proses aduan melalui reka bentuk, kerana ia menyediakan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna serta meningkatkan literasi mudah alih di kalangan pengguna di Malaysia," katanya.

Megat Ishak berkata kemudahan aplikasi mudah alih itu menjadikan ia sebagai aplikasi kemestian kerana ia menyediakan platform sehenti bagi pengguna untuk membuat aduan tanpa mengambil kira siapa penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Menurut beliau, melalui ciri-ciri Penerimaan Aduan dalam aplikasi, aduan akan dikemukakan terus kepada khidmat pengguna pembekal perkhidmatan masing-masing untuk tindakan lanjut.

"Pengguna akan menerima pemberitahuan melalui e-mel dan salinan kenyataan aduan apabila mereka selesai melengkapkan proses penyerahan aduan melalui aplikasi tersebu. Aduan (pengguna) akan diproses dalam masa tiga hari bekerja," katanya.

CFM ditubuhkan oleh SKMM pada 2001 sebagai platform untuk industri komunikasi dan multimedia dan juga orang ramai, atau pengguna, untuk membuat sumbangan yang membina untuk penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan dasar.

Aplikasi baharu ini boleh dimuat turun oleh pengguna dari Google Play Store dan Apple iTunes App Store.

-- BERNAMA

 
 
Share |